SYARIKAT penyiaran digital, MBits Digital Sdn Bdn melancarkan platform PLay yang menggabungkan Video On Demand (VOD), Over The Top (OTT) dan televisyen teresterial.
Tidak hanya itu, PLay turut menerbitkan rangkaian drama dan filem sendiri serta menyediakan platform muzik yang fokus dengan selera tempatan.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MBits Digital Sdn Bhd, Saraleana Nattaya Azmi, PLay adalah platform penyiaran digital tele-virtual OTT pertama dalam industri penyiaran di Malaysia.
"PLay menggunakan aplikasi digital yang boleh dimuat turun melalui Apple, Huawei, Google Store dan juga di laman web PLAY. Perbezaan PLay dengan penyiaran digital lain di Malaysia adalah kemudahan akses kepada kandungan-kandungan digital dan filem serta pilihan perbelanjaan bagi setiap kandungan tertakluk kepada individu tanpa membebankan bayaran bulanan yang tinggi.
"Justeru kami memperkenalkan sistem PLay Tiket iaitu sebuah konsep baharu yang membolehkan penonton untuk membayar setiap kandungan seolah-olah membeli tiket di panggung wayang. Platform PLay menyediakan pelbagai kandungan seperti VOD, musik, konsert secara langsung, saluran pengeluar kandungan tempatan dan antarabangsa pada bila-bila masa."Selain memberi pelbagai kandungan, PLay juga memberi kelebihan kepada pengeluar kandungan untuk menjana pendapatan daripada kandungan individu mereka termasuk melalui siaran langsung di seluruh platform dengan menawarkan kandungan Free-To-View (percuma untuk ditonton) Pay-Per-View (bayar setiap kali menonton) dan Pay-Per-Collection (bayar untuk koleksi yang ditonton).," katanya.
Saraleana berkata, kehadiran PLay memberi nilai kelebihan luar biasa berbanding platform penstriman antarabangsa yang terkenal di Malaysia.
"Dunia kini tanpa sempadan melalui platform digital. Mengapa kita sebagai rakyat Malaysia harus ketinggalan zaman dan hanya bergantung pada platform digital antarabangsa semata-mata.
"Sebagai penyiar tempatan, kita harus berkembang dan menyesuaikan diri dengan 'trend global' ke arah pendekatan yang lebih digital. Inilah sebabnya kami menghasilkan PLay.
"Platform ini disediakan untuk mempamerkan dan mengembangkan kandungan Malaysia ke seluruh dunia. PLay disesuaikan dengan keperluan platform digital yang semakin meningkat bagi pengguna dan pengeluar kandungan untuk mempunyai platform alternatif dalam menikmati kandungan dan juga menjana pendapatan pada peringkat global.
"PLay boleh dianggap sebagai platform Glokal untuk mempamerkan kandungan Malaysia dan Asia ke seluruh dunia. Kisah budaya dan warisan kita lebih baik diceritakan oleh kita sendiri," katanya.
Dalam pada itu, PLay turut menawarkan peluang kepada penerbit tempatan untuk menerbitkan karya mereka menerusi saluran Popcorn di PLay.
Sebagai percubaan kepada rakyat Malaysia, PLay akan memberi pengguna akses percuma selama tiga bulan untuk mengeksplorasi kandungan dan merasai pengalaman platform PLay.
"Selepas tiga bulan itu, pengguna perlu melanggan dengan hanya bayaran RM5 sebulan untuk mengakses semua kandungan termasuk kandungan premium terpilih. Kandungan premium lain tertakluk kepada pilihan pengguna untuk melanggan dan menikmati," katanya.
Sehingga kini, Saraleana berkata, pengguna PLay boleh menonton drama Korea dan Asia yang menyediakan lebih 8,000 jam tontonan dengan pelbagai drama dan filem menarik.
Najiy Jefri