Search

MBits teroka perniagaan infrastruktur gentian optik luar bandar


KUALA LUMPUR: MBits Digital Sdn Bhd bersedia untuk meneroka perniagaan salinghubungan infrastruktur gentian optik bagi jalur lebar bermula suku ketiga tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas MBits Digital, Saraleana Nattaya Azmi, berkata infrastruktur itu disasarkan akan dibina di kawasan luar bandar terutamanya di perkampungan Felda dan Felcra.

Beliau berkata, ini juga akan menjadi kesinambungan kepada pelan data prabayarnya yang dilancarkan pada September tahun lalu.

"MBits akan mengambil bahagian dalam mendigitalkan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Ini kerana, mereka memerlukan platform digital seperti e-wallet, platform penyiaran digital, perhubungan, rangkaian mudah alih atau gentian optik.


"Tumpuan kumpulan juga adalah menyediakan perkhidmatan tersebut untuk rakyat Malaysia dengan harga yang berpatutan," katanya kepada BH baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Saraleana berkata, bagi terus mempercepatkan pendigitalan dengan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi serta penyiaran yang berpatutan dan mudah diakses, kumpulan juga akan terus meningkatkan pelaburannya.

Beliau berkata, MBits Digital juga baru-baru ini memperoleh pelaburan sebanyak RM12.5 juta daripada Techna-X Bhd. Melalui pelaburan itu, Techna-X akan memperoleh 25 peratus kepentingan dalam MBits Digital.

Selain pelaburan daripada rakan strategik katanya, MBits juga menyasarkan dapat meraih RM100 juta melalui pendanaan awam pada suku ketiga tahun ini.

"50 peratus daripada dana yang akan diraih itu akan digunakan untuk mengukuhkan lagi inisiatif gentian optik. Jumlah pelaburan ini akan terus dipertingkatkan dalam masa beberapa tahun akan datang," katanya.

MBits Digital adalah pencipta dan penyedia perkhidmatan platform OTT penyiaran telemaya digital pertama di Malaysia dengan memberi fokus kepada ekosistem telco-media.

Kumpulan itu juga adalah satu-satunya syarikat yang mempunyai lesen penyiaran penuh dan juga lesen untuk menyediakan

perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia.

Mengenai pelan data prabayarnya, LIFE pula, Saraleana berkata, ketika ini pihaknya sudah memiliki 35,000 pelanggan dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 100,000 pelanggan menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, MBits juga akan terus memberi tumpuan kepada segmen yang kurang diberi perhatian iaitu golongan B40, pelajar sekolah dan universiti serta pekerja asing.


Oleh Alzahrin Alias

© 2020 by MBits Digital Sdn Bhd

Subscribe for MBits Digital Updates!