Search

CEO muda fasih 5 bahasa


"Siapa yang payung? Ada sugar daddy ke?" antara dialog berbau diskriminasi jantina yang dialami wanita muda bakal menginjak usia 30 tahun pada 13 September ini kerana statusnya mempunyai syarikat sendiri dalam bidang teknologi dan komunikasi yang jarang disertai kaum hawa seawal umurnya 21 tahun.

Si pemilik nama, Saraleena Nattaya Azmi melihat frasa 'tembakan' soalan seperti itu sepatutnya tidak lagi berlaku dalam dunia yang semakin berkembang maju. Apatah lagi, kejayaan wanita di dalam bidang keusahawanan bukan sahaja tempatan malah global sudah terbukti.

Mengaturkan sesi temu bual dan fotografi dengan gadis berdarah campuran Melayu, India dan Cina ini bukan suatu yang mudah untuk penulis kerana jadual anak kelahiran Subang Jaya itu yang selalu padat.

Kehadirannya di Studio News Straits Times Press (NSTP) baru-baru ini untuk sesi fotografi yang dikendalikan Shahril Badri Saali dengan busana pereka fesyen tempatan, Fyrose Zainuddin dan Nadd Hassan ternyata begitu mudah sekali untuk beliau memberikan gaya terbaik seperti diinginkan.


Saraleena yang lebih mesra disapa Sara berkata, sejak memulakan perniagaan pada 2016 dengan menubuhkan MBits Digital Sdn Bhd, jadual hidupnya agak padat kerana bukan sahaja perlu menguruskan operasi di Malaysia malah berjumpa dengan pelbagai rakan niaga terutama dari China, Hong Kong dan Korea.

"Boleh dikatakan setiap bulan sebelum pandemik Covid-19 saya akan ke mana-mana antara tiga negara itu atas urusan kerja dan sememangnya mempunyai sebuah syarikat yang menggabungkan antara telekomunikasi serta platform kandungan penyiaran digital bukan suatu perkara yang mudah.

"Sebagai perintis bersama dan memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif bukan sekadar kita berada di atas dan menunggu keputusan hasil operasi syarikat tetapi saya menitikberatkan untuk memahami setiap perkara teknikal dan operasinya," katanya.

Sara yang mahir dalam lima bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Perancis, Mandarin, Kantonis dan Hokkien melihat penguasaan bahasa juga amat membantunya dalam urusan perniagaan terutama apabila bertemu dengan rakan niaga dari China dan Hong Kong.

Jelasnya, kemahirannya berbahasa Cina datang daripada pertuturan dengan ibunya seorang saudara baru berdarah Cina yang menggunakan Bahasa Mandarin di rumah.

"Jadi apabila sudah mampu menguasai bahasa ini, saya mula menerokai bahasa Cina yang lain iaitu Kantonis dan Hokkien yang sebenarnya agak sukar pada mulanya tetapi apabila latihan setiap hari menjadikan saya lebih fasih.

"Selain itu, penggunaan bahasa ini juga amat penting untuk kita berhubung dengan rakan niaga dari luar negara terutama dari China dan Hong Kong yang mempunyai kekuatan dalam bidang teknologi dan kandungan tempatan bertaraf dunia," katanya.

Ditanya mengenai cabaran yang dilaluinya bergelar usahawan wanita muda, dia mengakui pelbagai perkara perlu dilaluinya dan sudah menjadi perkara biasa apabila orang menyangka ketua syarikat dimilikinya adalah lelaki.

SARA sentiasa positif dalam kehidupan dan kerjaya. FOTO: Shahril Badri Saali


"Pernah juga ketika berurusan dengan rakan niaga dari luar negara mereka merasa agak kekok untuk melayan kerana saya seorang wanita tetapi perkara itu tidak menjadi masalah apabila kita mengamalkan sifat profesional.

"Dalam masa yang sama, sudah biasa juga orang melihat saya ini 'dipayungi' individu kaya untuk memulakan perniagaan. Perkara itu, sebenarnya amat sensitif kerana saya membangunkan perniagaan ini hasil titik peluh sendiri bersama seorang rakan niaga," katanya.

Sara berkata, bakatnya dalam bidang usahawan dipengaruhi ibunya, Majidah Abdullah yang bekerja keras untuk membesarkan dia dan tiga orang abangnya kerana Majidah seorang ibu tunggal.

Malah, di dalam syarikatnya mempunyai 20 kakitangan dan 17 daripadanya adalah lelaki. Namun, Sara melihat isu jantina tidak menjadi penghalang untuk dia menerajui sebuah syarikat yang menjalankan operasi yang biasanya diketuai oleh seorang lelaki.

"Bagi Sara perkara paling penting ialah kita tahu perkara yang dimahukan dan tidak bersifat menentang kerana di dalam kerja berpasukan sebagai ketua perlu faham fungsi setiap kakitangan. Paling penting jangan terlalu emosi," katanya.

BERCITA-CITA untuk tersenarai sebagai individu berpengaruh dalam bidang teknologi maklumat. FOTO: Shahril Badri Saali


Sara sebenarnya mempunyai diploma lanjutan dalam bidang Sejarah Inggeris dari Universiti Oxford dan 'melompat' kerjaya dengan memilih industri teknologi maklumat yang mempunyai peluang amat besar untuk diterokai.

"Selain itu, saya melihat kandungan penyiaran digital di Malaysia juga masih banyak boleh diterokai dan hasil kerjasama dengan rakan niaga kami membangunkan syarikat ini pada 2016 dengan menggabungkan elemen telekomunikasi dan platform penyiaran digital.

"Bukan mudah sebenarnya untuk menguasai kedua-dua bidang ini kerana ia mempunyai pengurusan operasi dan teknikal yang jauh berbeza tetapi sebenarnya boleh digabungkan dan memudahkan pengguna pada hari ini yang

inginkan sesuatu yang mudah dan ringkas dalam gaya hidup mereka terutama penggunaan teknologi maklumat," katanya yang baru melancarkan LIFE minggu lalu dan sudah mempunyai 5,000 pelanggan.


Hafiz Ithnin

https://www.hmetro.com.my/WM/2020/09/618970/ceo-muda-fasih-5-bahasa


© 2020 by MBits Digital Sdn Bhd

Subscribe for MBits Digital Updates!